Pages

Thursday

KUALITI DAN KUANTITI: SATU POLEMIK



          Allah Taala memuliakan ahli-ahli Iman dari kalangan makhlukNya, dan menghina ahli-ahli maksiat dengan kehinaan yang nyata. Allah pasti akan memberikan An Nasr (kemenangan) kepada golongan-golongan yang beriman kepadaNya walaupun dalam keadaan mereka sedikit dan mampu dikira, serta mengalahkan golongan-golongan batil dalam keramaian mereka. Kebatilan pasti akan dihancurkan tetapi hanya dengan pautan hati-hati manusia yang ikhlas, bukannya dengan berhimpun jutaan jiwa-jiwa manusia tetapi rohnya kering seperti kayu yang menunggu saat waktu dibakar, setelah apinya marak yang tinggal hanya debu dan arang yang berserakan. 

“(Orang-orang yang meyakini Allah berkata), ‘Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Allah beserta orang-orang yang sabar” – surah Al Baqarah:249

Banyak petunjuk-petunjuk daripada Al Quran dan Hadis mampu kita perolehi bahawa Islam mementingkan aspek kualiti daripada kuantiti (bilangan). Ini kerana nilai atau intipati sesuatu perkara bukan diukur dengan ramai atau ramai bilangannya, tetapi apakah kualiti hasil yang mampu dibuktikan. Al Quran mencela golongan-golongan majoriti (ramai), tetapi di dalamnya hanya dipenuhi oleh orang-orang yang tidak menggunakan sepenuh akalnya dan beriman kepada Allah dalam erti kata mematuhi dan melaksanakan segala perintahNya. Firman Allah Taala, “…Akan tetapi kebanyakan mereka tidak memahaminya” – surah Al Ankabut:63


“…Akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui” – surah Al A'raf:187

“…Akan tetapi kebanyakan manusia tidak beriman” – surah Hud:17

“..Akan tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur” – surah Al Baqarah:243

“Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini, niscaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah...” – surah Al An'am:116

Pada masa yang sama, Al Quran menyebut bahawa hanya sedikit golongan yang berkualiti imannya, “...Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan amat sedikitlah mereka ini...” – surah Shod:24

“...Dan sedikit sekali hamba-hambaKu yang bersyukur” – surah Saba’:13

Dalam hal ini dijelaskan bahawa kualiti seseorang hamba itu lebih diberi keutamaan berbanding kuantiti mereka itu sendiri. Namun tabiat manusia lebih gemar kepada kuantiti, ramai atau jumlah yang mampu menonjolkan sesuatu kemegahan. Tetapi malanglah jika kita tidak melihat di sebalik jumlah yang banyak itu, Allah lebih mengutamakan hakikat isinya bukan formasinya.

Ciptalah senjata secanggih manapun, namun senjata tersebut tidak akan berguna kecuali kepada seorang yang pandai menggunakanya. Buatlah apa-apa undang-undang sekalipun yang boleh mengawal kehidupan manusia, namun undang-undang tersebut tidak akan berguna sekiranya ia hanya ditulis di kertas perlembagaan semata-mata tanpa dilaksanakan.

Impian Umar Al Khattab R.A

Pada suatu hari Umar duduk bersama sebahagian sahabatnya, kemudian beliau berkata kepada mereka, “Apakah yang pernah kalian hajatkan? 

Seorang pemuda berkata, “Aku berhajat negeri ini dipenuhi dengan emas lalu aku infaq-kan pada jalan Allah”. 

Seorang lagi pemuda berkata, “Aku berhajatkan negeri ini dipenuhi dengan batu permata lalu aku infaqkan pada jalan Allah”. 

Umar bertanya lagi, “Apa lagi hajat kalian?

Lantas mereka berkata, “Kami tidak tahu apa yang hendak dikatakan wahai Amiral Mukminin”. 

Umar pun berkata, “Aku berhajatkan para pemuda seperti Abu Ubaidah Al Jarrah, Muaz bin Jabal dan Salim, hamba Abu Huzaifah. Agar dengannya aku dapat mempergunakan mereka berjuang di jalan Allah”.

Amru Al ‘As pernah dihantar oleh Umar Al Khattab untuk membuka Mesir ketika negara tersebut masih itu dikuasai Rom Byzantine. Setelah beberapa bulan, Amru Al ‘As memohon tambahan tentera daripada Umar Al Khattab kerana bilangan tentera Rom terlalu ramai.  Lalu Umar Al Khattab menghantar kepada Amru empat orang komandonya , di mana setiap seorang komandonya itu memiliki kekuatan seribu orang tentera.

Pada zaman yang serba mencabar kini, jumlah kaum Muslimin sedunia melebihi 1 per 4 million. Malangnya kesan daripada penyakit-penyakit yang menimpa Ummah Islamiyyah menyebabkan nilai seorang Muslim ibarat buih-buih dilautan (ghusa’a as sail) seperti yang digambarkan Rasulullah S.A.W.

“Akan datang pada suatu masa, musuh-musuh kamu mengerumuni kamu sepertimana berkumpulnya mereka kepada satu hidangan. Mereka (Para Sahabat) pun berkata, ‘Adakah bilangan kami ketika itu sedikit? Rasulullah S.A.W menjawab, ‘Bahkan kamu ketika itu ramai, tetapi kamu seperti buih-buih dilautan (tiada nilai) dan Allah akan mencabut perasaan gerun di hati musuh-musuh kamu dan Allah akan mencampakkan kedalam hati kamu penyakit Al Wahn”. 

Sahabat pun bertanya, “Apakah penyakit Al Wahn itu wahai RasulAllah?

Rasulullah S.A.W bersabda, “Cintakan dunia dan takutkan mati”. (Riwayat Ahmad & Tarmizi)

Hadis di atas menerangkan kepada kita bahawa jumlah (kuantiti) tidak cukup dilabelkan sebagai satu kepuasan dan kemenangan apabila jumlah ini hanya kelihatan megah diluar, tetapi lemah di dalam, seperti apa yang di-analogikan Rasulullah S.A.W sebagai buih-buih di lautan yang tiada nilai kualiti dan identiti. 

Kuantiti Yang Diinginkan Baginda S.A.W

Rasulullah S.A.W bersabda, “Berkahwinlah kamu dan beranak-pinaklah kamu dengan banyaknya, sesungguhnya aku akan berbangga dengan kamu berbanding umat-umat yang lain di hari Akhirat nanti”.  (Riwayat Abu Daud).

Apa yang dikehendaki Baginda dalam hadis ini, umat Islam perlulah memiliki kuantiti yang ramai tetapi tetapi dalam masa yang sama turut memiliki kualiti yang diinginkan Allah Taala, iaitu umat Islam yang beriman dan beramal soleh. Bukan kualiti sahaja yang penting, kuantiti juga adalah satu elemen kemenangan yang diperlukan. Maka apabila di-polemikkan masalah kualiti bukanlah bermaksud kuantiti tidak penting, begitu juga apabila disebut perihal kuantiti maka kualitinya adalah sangat-sangat penting.

Lebih-lebih lagi senario sekarang ini, kita juga memerlukan bilangan yang ramai, kuatiti ahli yang hebat kerana negara menggunakan sistem pengundian dan untuk menang maka memerlukan majoriti. Kerana itulah, telah dikatakan tadi kuantiti bukan tidak penting tetapi kualiti juga penting.

Dipetik dari tarbawi.net

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...